Kolumnis 28 Aug, 2020

PRK DUN 58 Slim: Sila beri perhatian kepada undi anak muda!

@dr mohd fauzi shaffie
Dilahirkan di Kelantan. Graduan Fizik, Pentadbiran Perniagaan dan sedang belajar Jurisprudens. Minat Kepemimpinan, Politik, Sejarah dan Falsafah.

Share this
PADA esok, Sabtu 29 Ogos 2020 ini pengundi dalam DUN 58 Slim, Perak akan turun membuat keputusan. Keputusan PRK ini tidak penting untuk percaturan kuasa semasa. Namun PRK ini penting kerana ia adalah PRK yang berlangsung dalam suasana hampir seperti biasa walaupun PKPP masih berjalan, dan pembangkang sudah agak pulih daripada terkejut selepas kehilangan kuasa pada Februari lepas. : OLEH DR MOHD FAUZI SHAFFIE

Kredit foto: FB @PRK DUN Slim


PADA esok, Sabtu 29 Ogos 2020 pengundi dalam DUN 58 Slim, Perak akan turun membuat keputusan. Keputusan PRK ini tidak penting untuk percaturan kuasa semasa.

Namun PRK ini penting kerana ia adalah PRK yang berlangsung dalam suasana hampir seperti biasa walaupun PKPP masih berjalan, dan pembangkang sudah agak pulih daripada terkejut selepas kehilangan kuasa pada Februari lepas.

Lima hari saya turun ke PRK Slim, tetapi bermalam cuma dua kali. Mengumpul bual bicara sekitar kawasan PRK dan pemerhatian dalam media sosial, saya berasakan soal kalah menang tidak penting dikaji, malah saya yakin BN akan menang dengan majoriti jauh lebih besar, kecuali takdir menentukan sebaliknya dengan faktor yang tidak ada dalam pengetahuan manusia.

Saya jangka BN akan beri tumpuan kepada meningkatkan majoriti dengan penambahan undi daripada orang Melayu dan India, terutama apabila mendapat sokongan padu dari PAS sebagai rakan dalam Muafakat Nasional (MN), dan terkini hadirnya sokongan dari PPBM yang menjadi rakan baharu dalam MN dan Perikatan Nasional (PN).


Kredit foto: FB @Ddiy Putra


Saya cuba memahami tindakan PEJUANG yang menyertai PRK ini sebagai pendokong calon BEBAS kerana pada tarikh penamaan calon, parti tersebut belum mendapat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mengetepikan mereka sebagai membuang masa, membuang duit atau mencari publisiti murah bukan fikiran yang bijak, kerana sebaliknya ia adalah keputusan yang strategik jika ditinjau dari pelbagai persepktif, terutama dalam mengambil kesempatan membuat liputan ‘live’ kepada program berkehadiran kecil dalam PRK yang menarik minat seluruh negara.

Selain daripada mengambil peluang memperkenalkan parti baharu secara tidak langsung, Parti Pejuang Tanahair ini mendapat liputan luas percuma dengan hadir ke program dan berkempen untuk calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, serta memampirkan kelibat kenderaan pacuan empat roda berlogo PEJUANG.

Maka secara tidak langsung, disahkan oleh oleh Parti Pejuang dan juga semua mereka yang terlibat dalam PRK DUN Slim ini, bahawa Amir Khusyairi adalah calon proksi untuk Pejuang.

Apabila kita perhatikan golongan yang hadir dalam program Amir Khusyairi, kebanyakan mereka adalah dalam kalangan orang muda, atau mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah.

Saya pernah tulis sebelum ini bahawa jangkaan jumlah pengundi muda pada PRU15 adalah lebih daripada 60%.

Kehadiran saya dalam beberapa program anjuran BN, majoriti yang datang adalah berumur lebih daripada 40 tahun, kecuali mata saya yang menipu saya. Perlukah loceng amaran dibunyikan?

Apabila diukur daripada mesej utama yang dibawa oleh BN dan Pejuang dalam PRK ini, masing-masing membawa mesej berbeza, menunjukkan matlamat parti yang berbeza yang hendak diraih.

Antara mesej utama yang dibawa oleh BN adalah mesej perpaduan dan penyatuan ummah, dan mesej utama proksi Pejuang pula adalah anti-rasuah dan integriti. Mampukah mesej penyatuan ummah menarik golongan muda? Mampukah pula mesej anti-rasuah dan integriti menarik undi golongan mereka yang melangkau umur 40 tahun?

Kredit foto: FB @hazrina.renna


Memang masih banyak isu lain yang diketengahkan dalam PRK ini, namun, untuk artikel ini, saya ingin bawa pembaca melontarkan fikiran ke pertengahan tahun 2021, jika PRU15 tidak dibuat dalam masa terdekat, isu manakah yang akan kekal lebih lama menjadi tumpuan pengundi?

Ramai rakyat, khusus mereka yang betul mempunyai kehidupan yang stabil, adalah berumur sekitar 30 hingga 45 tahun, lebih-lebih lagi terkesan dengan PKP yang dikuat kuasa kerana penangan pandemic Covid-19.

Ramai dalam kalangan mereka amat bimbang dengan bulan Oktober yang kian hampir, apabila kesan buruk ekonomi yang diringankan oleh polisi moratorium menjelmakan wajah buruknya yang hodoh dan menggerunkan.

Pemimpin BN sering membuat kenyataan mengharapkan PRU15 dibuat secepat mungkin, namun Pejabat Perdana Menteri (PMO) nampaknya memberi signal ianya tidak akan berlaku pada tahun ini.

Semakin lambat PRU15 dibuat, semakin ramai pengundi muda mendaftar, dan jika ia dibuat selepas pertengahan 2021, keputusan pengundi muda adalah keputusan yang menentukan.

Kredit foto: Bharian.com


Pada awal tahun 2022, saya jangka data PRU14 tidak banyak boleh dipakai lagi kerana komposisi pengundi sudah banyak berubah, dan golongan yang berjaya memikat fikiran dan hati golongan muda hari ini akan memegang tampuk kuasa selepas PRU15.

Kita sama-sama perhatikan jumlah undi mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah pada Sabtu malam nanti, dan kepada mereka yang berkewajiban, lakarlah tindakan lanjutan yang sepatutnya.

Hanyut dalam buai majoriti bertambah seumpama gembira berkayuh mengikut arus ke jeram berbatu kejam. - KitaReporters

You will be interested

Pengagihan kerusi untuk PRU15: PAS Terengganu jangan kerlong

Isu pengagihan kerusi terutama Parlimen di Terenganu sememangnya menarik minat pemerhati politik yang hangat diperkatakan dalam media sosial malah di kedai kopi

Mohammad Ishak in Kolumnis 2 months ago

Masa depan politik Malaysia dalam tangan generasi milenial

Pada tahun 2023, lebih daripada 60% pada waktu itu adalah mereka daripada kalangan pengundi muda, atau berumur 40 tahun dan ke bawah berbanding 40% pada PRU14
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 1 month ago

Erti ‘umran Ibn Khaldun: Kemakmuran terjemahan paling sesuai

Maka, adalah lebih baik dikekalkan istilah ‘umran, dan terjemahan paling hampir adalah ‘kemakmuran’ dalam bahasa Melayu, dan ‘prosperity’ dalam bahasa Inggeris
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 1 month ago

Menghulur kaki dan mencemar jemari ke ruang panas politik

Politik kita begitu terbelah hinggakan tidak ada yang boleh mengaku ‘duduk atas pagar’, mahu tidak mahu, mereka akan tercemar dengan warna politik yang berbelah
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 2 months ago

Kukuhkan MN: Dua Ahmad perlulah turun padang jumpa akar umbi

Terdengar suara akar umbi yang mempersoalkan kerjasama politik UMNO-PAS di Terengganu dalam gagasan Muafakat Nasional yang tidak cerminkan pemuafakatan sebenar
Mohammad Ishak in Kolumnis 2 months ago