Kolumnis 29 Jul, 2020

Pengagihan kerusi untuk PRU15: PAS Terengganu jangan kerlong

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.

Share this
SELEPAS dua minggu isu pengagihan kerusi Parlimen di Terengganu hangat diperkatakan dalam kalangan ahli dan pemimpin politik di negeri ini apabila pemimpin PAS mula membuka langkah untuk mempertahankan enam kerusi yang dimiliknya pada PRU-14, isu tersebut kini nampaknya semakin panas dibincangkan rakyat negeri ini. : OLEH MOHAMMAD ISHAK

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika berkunjung ke rumah Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Kijal, Terengganu. 


SELEPAS dua minggu isu pengagihan kerusi Parlimen di Terengganu hangat diperkatakan dalam kalangan ahli dan pemimpin politik di negeri ini apabila pemimpin PAS mula membuka langkah untuk mempertahankan enam kerusi yang dimiliknya pada PRU-14, isu tersebut kini nampaknya semakin panas dibincangkan rakyat negeri ini. 

Isu pengagihan kerusi terutama Parlimen sememangnya menarik minat pemerhati politik di negeri pengeluar minyak itu bukan sahaja hangat diperkatakan dalam media sosial, malah kedai kopi turut menjadi mini Parlimen untuk membahaskan perkara berkenaan. 

Kenyataan beberapa pemimpin PAS Terengganu sebelum ini termasuk Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyuarakan hasrat parti itu untuk mempertahankan enam kerusi yang dimenangi PAS pada PRU14 bukan lagi tersembunyi, malah ia menjadi isu politik di negeri berkenaan. 

Dalam kalangan ahli UMNO perkara itu bukan isu kecil, malah ia sesuatu yang dianggap cuba mencabar dan membakar semangat ahli untuk terus kekal dalam gabungan Muafakat Nasional (MN). 

Jika kenyataan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu lahir daripada keputusan bersama MN ia sudah tentu ia melukakan hati dan perasaan ahli UMNO yang sebelum ini mengharapkan pengagihan kerusi dilakukan secara muafakat. 

Enam daripada kerusi Parlimen yang ingin dipertahankan PAS pada pilihan raya umum PRU15 ialah Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said


Bakinya dua kerusi lagi ialah milik UMNO masing-masing di Besut Datuk Seri Idris Jusoh dan Hulu Terengganu. Bagaimanapun Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid kemudian meninggalkan UMNO dan menyertai BERSATU. 

Bagi kerusi DUN pula, PAS memenangi 22 kerusi, manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN dalam PRU ke-14. 

Ahli Parlimen Besut (UMNO) Datuk Seri Idris Jusoh


Ahli akar umbi UMNO menyifatkan usaha PAS untuk mengekalkan enam kerusi terbabit tanpa mengambil kira pemufakatan bersama UMNO dilihat sebagai tindakan “kerlong” dalam loghat Terengganu atau sikap tamak. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk  Seri Ahmad Said yang sebelum ini berdiam diri terhadap isu berkenaan yang dilihat tidak mahu masuk campur dengan isu berkenaan akhirnya mula bangkit bersuara selepas melihat anak buahnya sudah bersedia untuk menentang PAS. 

“Jika parti itu (PAS)  bersedia untuk bertanding di kesemua 8 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN di negeri itu dalam PRU ke-15 UMNO juga akan melakukan perkara yang sama,” katanya. 

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid (BERSATU)


Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi balas pertama terhadap kenyataan beberapa pemimpin PAS Terengganu sebelum ini, termasuk kenyataan Dr Ahmad Samsuri yang menyatakan hasrat mempertahankan enam kerusi Parlimen yang dimenangi PAS dalam PRU-14 lalu. 

Beliau menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Terengganu itu sebagai pendapat peribadinya, Ahmad menjelaskan, beliau sendiri mempunyai hasrat tersendiri, iaitu BN bertanding di semua kerusi dalam PRU ke-15 nanti. 

“Setahu saya, masih lagi belum ada berbincang mengenai pengagihan kerusi, kerana selama ini hanya tentang ‘terms of reference’. Bagi saya, kenyataan Dr Samsuri sebagai Naib Presiden dan kenyataan peribadinya adalah premature (pramatang). 

“Maknanya ini dah menjadi hasrat dia, sasaran dia walaupun belum ada rundingan (walaupun) kemudian kata ‘wishlist’ akan dikemukakan. Jadi, saya kata itu pendapat peribadi beliau dan sekiranya pendapat peribadi ini diambil kira, saya boleh kata ini pendapat peribadi saya. 

“Kalau dia kata bertanding di 6 Parlimen, saya tak ada pilihan, di Terengganu BN akan bertanding di semua 8 Parlimen,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Persidangan UMNO Cawangan Pulau Manis, pada 27 Julai 2020. 

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, salah seorang Exco Terengganu (wakil rakyat Pas) juga ada menyatakan PAS akan turut mempertahankan 22 kerusi DUN yang dimenangi parti itu. 

Ahmad berkata, sekiranya itu adalah pendapat peribadi wakil rakyat PAS itu, beliau juga dengan pendiriannya untuk bertanding di semua 32 kerusi DUN di Terengganu. 

“Takut apa? Sebab di Terengganu, Kelantan dan Kedah adalah negeri (majoriti) Melayu. PAS atau UMNO menang, tetap negeri Melayu,” katanya.  

Beliau mendakwa, kenyataannya berasas kerana sebagai contoh, Parlimen Kemaman adalah kerusi tradisi UMNO dan menang dengan majoriti kedua tertinggi di Pantai Timur selepas Parlimen Pekan, sebelum tewas pada PRU-14.  

Mengulas mengenai agihan kerusi, beliau berkata, setakat ini rundingan berhubung perkara itu masih belum dibincangkan. 

Pemerhati politik berpendapat, sudah sampai masanya Kerajaan Terengganu melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO untuk menduduki barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memperlihatkan wujudnya semangat muafakat pada peringkat negeri selepas terbentuknya Kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Menurut mereka jika Kerajaan PAS Kedah, boleh melantik ADUN UMNO untuk menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri, kenapa tidak dilakukan perkara sama di Terengganu. 

Begitu juga dengan perlantikan Ahli Majlis Daerah dan Ahli Majlis Perbandaran yang ketika ini tidak ada weakil dari UMNO dan BERSATU untuk menganggotai agensi itu.

You will be interested

Ilmu sains ‘umran Ibn Khaldun: Antara tamadun dan peradaban

Istilah ‘umran digunakan bagi menjelaskan makna tamadun yang merangkumi organisasi sosial dan budaya, menghuraikan hubungan antara manusia, alam dan Penciptanya

Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 11 months ago

PRK DUN 58 Slim: Sila beri perhatian kepada undi anak muda!

Apabila kita perhatikan golongan yang hadir dalam program Amir Khusyairi, kebanyakan mereka dalam kalangan orang muda, atau mereka berumur 40 tahun dan ke bawah
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 10 months ago

Masa depan politik Malaysia dalam tangan generasi milenial

Pada tahun 2023, lebih daripada 60% pada waktu itu adalah mereka daripada kalangan pengundi muda, atau berumur 40 tahun dan ke bawah berbanding 40% pada PRU14
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 10 months ago

Erti ‘umran Ibn Khaldun: Kemakmuran terjemahan paling sesuai

Maka, adalah lebih baik dikekalkan istilah ‘umran, dan terjemahan paling hampir adalah ‘kemakmuran’ dalam bahasa Melayu, dan ‘prosperity’ dalam bahasa Inggeris
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 10 months ago

Menghulur kaki dan mencemar jemari ke ruang panas politik

Politik kita begitu terbelah hinggakan tidak ada yang boleh mengaku ‘duduk atas pagar’, mahu tidak mahu, mereka akan tercemar dengan warna politik yang berbelah
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 11 months ago