Kolumnis 23 Sep, 2020

PRN Sabah 2020: Tolak slogan ajak kepada kehancuran negara

@dr mohd fauzi shaffie
Dilahirkan di Kelantan. Graduan Fizik, Pentadbiran Perniagaan dan sedang belajar Jurisprudens. Minat Kepemimpinan, Politik, Sejarah dan Falsafah.

Share this
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang berlangsung sekarang tidak dirancang oleh mana-mana parti. Ia adalah jawapan dalam ketergesaan Kerajaan Sabah pimpinan DS Shafie Apdal kepada gerakan politik yang dibuat oleh TS Musa Aman. : OLEH DR MOHD FAUZI SHAFFIE


PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang berlangsung sekarang tidak dirancang oleh mana-mana parti. Ia adalah jawapan dalam ketergesaan Kerajaan Sabah pimpinan DS Shafie Apdal kepada gerakan politik yang dibuat oleh TS Musa Aman.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dicadang untuk dibubarkan oleh Ketua Menteri waktu itu, Dato’ Seri Shafie Afdal, kepada TYT Gabenur Sabah sebaik Tan Sri Musa Aman, bekas Ketua menteri yang tergugur sebelum ini mengumumkan beliau sudah cukup bilangan untuk menunjukkan beliau ada sokongan majoriti. Selebihnya adalah sejarah.

Pilihan raya dibuat untuk memberi peluang kepada rakyat memilih pemimpin dan parti yang mereka mahu sebagai Kerajaan yang akan meneruskan pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pada kali ini seramai 447 orang calon akan mengadu nasib untuk memenangani hati pemilih di 73 DUN. Hanya akan ada 73 pemenang dan yang lainnya dikira selamat jika tidak hilang wang pertaruhan.

Matlamat setiap parti dan pemain politik yang terlibat adalah untuk mengalahkan lawan dan untuk menang, maka masing-masing pihak ada cara tersendiri, mengikut kemampuan dan mengikut firasat mereka, cara yang boleh bawa kemenangan.

Salah satu cara adalah dengan menimbulkan isu yang berpotensi menjadi dekat pada hati pengundi. Hasratnya supaya mudah menarik minat mereka. Apabila pendengar memberi perhatian, emosi dikait, perasaan disentak. Propagandis mudah memanipulasi perasaan mereka.

Harapan para pemain politik ini adalah, apabila persepsi berjaya dibina, reaksi perasaan pengundi, sama ada suka atau benci diharap dapat memberi undi kepada mereka. Sama ada isu yang dibawa itu benar atau dusta, bukan persoalan. Semuanya itu umpan.


Ada isu yang telah lama dan kerap diulang. Walaupun mereka tahu ianya tidak benar atau tidak baik untuk jangka masa panjang. Ramai pencatur politik percaya kepada Geobbels, propagandis Jerman zaman Hitler. Katanya, pembohongan jika diulang banyak kali akan jadi kepercayaan.  

Apa yang penting bagi mereka yang berebut undi adalah agar mereka menang dalam pilihan raya tersebut, atau paling tidak, pemenangnya tidak dapat undi terlalu banyak. Demokrasi tidak bercakap tentang moral. Malah ramai aktivis politik yang lantang menentang tindakan kerajaan yang mahu menjaga moral. Inilah kebebalan demokrasi.

Satu daripada isu-isu panas dan laku dalam pilihan raya ini adalah “Sabah untuk orang Sabah”. Ianya sambungan kepada laungan slogan sejak beberapa lama, tetapi telah menjadi panas sebelum PRU14 dan menjadi salah satu sebab utama kepada keputusan yang dibuat oleh ramai pengundi dalam PRU14.

Cabarnya adalah, orang Semenanjung telah menjajah Sabah sejak Malaysia tertubuh. Mereka mengungkit Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi gagal menunjukkan bahagian mana MA63 itu yang tidak terlaksana.

Namun berapa ramai rakyat Sabah membaca Perlembagaan dan MA63? Jerat emosi mereka mengena. Benci meluap. Dendam membara. Orang Semenanjung jangan dipercaya! Mereka penjajah. Rakyat bingung. Rakyat berbalah. Rakyat berpecah. Ini salah.

Sebab itu kita kena belajar sejarah. Baca dokumen asal, jangan mudah terima ceramah lompang penyedap rasa. Zaman Internet boleh sahaja kita Google. Usaha sedikit pun boleh jumpa. Antara mahu dengan alpa. Pilih saja kemahuan anda.


Pencatur kuasa tetap bergaya. Kalah sebelah sini, padang masih hijau sebelah sana. Politik cari makan hanya pentingkan diri, tidak baik untuk negara. Pemimpin yang menang kenyang. Rakyat menunggu janji. Perit hidup tetap diharungi.

Golongan yang sanggup memecahbelah rakyat harus didenda. Jangan dibela. Jangan lagi percaya. Slogan pecah negara kita tolak. Pembawa slogan itu pun kita tolak. Jangan biarkan mereka berenang dengan labu-labu. Kerana labu-labu itu pun rakyat yang punya.

Namun rakyat tiada pilihan. Hanya pangkah calon yang ditawar. Menang calon pilihan mereka belum tentu mereka bahagia bersama. Tengok dulu siapa bentuk kerajaan. Jika calon yang disokong tidak bersama dalam parti kerajaan, alamat rezeki macam terhalang. Ini bukan demokrasi.

Mana-mana calon yang terpilih dalam pilihan raya, atau dikira menang kerana mendapat undi terbanyak, dia adalah wakil kepada semua rakyat tempat dia bertanding. Tidak boleh pilih sebahagian rakyat untuk dibantu, dan mengetepikan sebahagian yang lain. Itu tidak adil. Itu bukan maksud demokrasi. Jauh sekali begitu ajaran Islam.

Rakyat ramai bingung. Ramai kecewa. Ada merajuk. Ada sedih berhiba. Rasa tidak mahu mengundi diluah merata.

Jangan begitu. Kita tetap bertanggungjawab jaga negara. Sikap begitu adalah kemahuan musuh. Mereka mahu negara kita hancur. Memang bukan senang nak jaga dan bina negara. Bangunan tinggi itu pun binanya bertahun, meruntuhnya hanya beberapa hari. Negara ini kita punya. Untuk anak cucu kita juga.

Putus asa bukan penyelesaian. Jika kita yakin kita mahu anak cucu kita warisi negara ini, kita didiklah mereka. Golongan lama akan pergi jua. Tidak lama. Mereka tidak tongkat dunia. Tamak haloba kumpul harta berbilion pun hanya sementara.

Didik generasi baharu bukan hanya ajar membaca dan mengira. Ajaran asas adalah bina iman dan taqwa. Kukuh iman di dada baharu bisa bicara tentang kuasa. Jika tidak, cerita akan berulang, negara hancur kerana petualang. Itu tanggungjawab kita. Jangan leka.

You will be interested

Pengagihan kerusi untuk PRU15: PAS Terengganu jangan kerlong

Isu pengagihan kerusi terutama Parlimen di Terenganu sememangnya menarik minat pemerhati politik yang hangat diperkatakan dalam media sosial malah di kedai kopi

Mohammad Ishak in Kolumnis 2 months ago

Masa depan politik Malaysia dalam tangan generasi milenial

Pada tahun 2023, lebih daripada 60% pada waktu itu adalah mereka daripada kalangan pengundi muda, atau berumur 40 tahun dan ke bawah berbanding 40% pada PRU14
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 2 months ago

Erti ‘umran Ibn Khaldun: Kemakmuran terjemahan paling sesuai

Maka, adalah lebih baik dikekalkan istilah ‘umran, dan terjemahan paling hampir adalah ‘kemakmuran’ dalam bahasa Melayu, dan ‘prosperity’ dalam bahasa Inggeris
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 2 months ago

Menghulur kaki dan mencemar jemari ke ruang panas politik

Politik kita begitu terbelah hinggakan tidak ada yang boleh mengaku ‘duduk atas pagar’, mahu tidak mahu, mereka akan tercemar dengan warna politik yang berbelah
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 2 months ago

Kukuhkan MN: Dua Ahmad perlulah turun padang jumpa akar umbi

Terdengar suara akar umbi yang mempersoalkan kerjasama politik UMNO-PAS di Terengganu dalam gagasan Muafakat Nasional yang tidak cerminkan pemuafakatan sebenar
Mohammad Ishak in Kolumnis 2 months ago